Followers

Saturday, July 30, 2011

Nilai Keemasan Anak Muda


Orang tua perlu menerima hakikat bahawa bumi ini mereka pinjam daripada orang muda. Manusia bukan mewarisi bumi ini daripada orang terdahulu,tetapi mereka meminjam bumi ini untuk generasi seterusnya.
Lonjakan orang muda lebih jauh daripada orang tua.Walaupun perlu diakui bahawa golongan ini kontang dari aspek pengalaman,tetapi mereka ghairah mencari pengetahuan.Apabila mereka berpengetahuan,mereka akan meledakkannya untuk membiarkan semua orang dapat merasai kehebatannya.

Golongan muda ini perlu belajar.Mereka bukan setakat perlu belajar di kelas,makan ketika lapar, membuat tugasan kerja sekolah dan tidur.Itu hanyalah kehidupan sempit yang memendamkan perasaan inkuiri yang sulit.Sebenarnya pembelajaran orang muda lebih luas daripada itu. Nilai keemasan orang muda bergantung kepada bakat dan  kebolehan yang perlu dibuktikan. Bukan yang diperam dan disimpan.

Masalah yang menghimpit golongan  muda ini kerana mereka tidak mempunyai ruang dan peluang yang mencukupi.Mereka dahagakan sesuatu yang boleh membuktikan nilai keemasan mereka.Bakat mereka.Kebolehan mereka.Minat mereka.Mereka terkapai-kapai di lembah yang luas,memaut tali yang tiada asas,memijak bumi yang keras.Mereka memerlukan satu medium khas untuk membuktikan bahawa mereka sebenarnya berbakat.Mereka sebenarnya berpengetahuan.

Mereka sebenarnya mempunyai nilai keemasan.

Maka dengan itu,Persatuan Blogger Remaja Malaysia  merupakan salah satu daripada medium bagi mereka menyuarakan pengetahuan. Persatuan  ini bukan sahaja bakal sarat dengan infomasi dan pendekatan dakwah kotemporari,tetapi ianya merupakan satu bukti dan saksi,bahawa golongan muda mempunyai kekuatan untuk beraksi mengikut acuan sendiri.

Biarkan blogger-blogger muda ini bertiti.Jika kesalahan yang ketara diperhati,harap dimaafi supaya anak-anak muda itu tidak mudah berputus asa dan makan hati.Teguran atas kesalahan dan tunjuk ajar atas kesilapan amat dihargai kerana barisan anak muda inilah yang akan memacu kegemilangan  nasional,bangsa dan agama suatu hari nanti.

Persatuan Blogger Remaja Malaysia,himpunan ledakan minda generasi muda yang berpengetahuan. Menjadi bukti dan saksi nilai keemasan. 

Wednesday, July 27, 2011

Diam Diam Ubi Berisi

Ubi itu duduknya di bawah tanah. Jasadnya tidak kelihatan,rohnya semakin bercambah. Semakin lama percambahan roh ini akan dibangunkan,kemudian disusuli dengan jasad yang tidak kelihatan. Maka ubi ini apabila telah bersedia untuk matang,ia akan dicabut dan menyebarkan budinya. Selama tempoh pertumbuhan ubi ini,tidak ramai yang memahami bagaimana ia boleh membesar,walhal ia tidak berbunyi. Ia sunyi. Ia terdiam di dalam lorong sempit yang sunyi.

Seperti ubi,blog ini diam dan terus berisi.

Saya sebagai presiden memohon maaf andai blog ini seperti sarang burung denak yang berhabuk dek habuk pokok Melaka,tidak terisi dengan sebarang maklumat terkini. Al-maklumlah. Sudah fitrah remaja, pemikirannya kontot,nafsunya lebar. Yang digenggam telah dilupa,yang terlepas bikin ternganga. Maka, pada hari ini,saya akan menyambung kesinambungan hari bersejarah 1111 yang akan kita kenangi suatu hari nanti.

Persatuan Blogger Remaja Malaysia belum menjadi ubi yang matang. Ia sedang melalui proses.

Baru-baru ini,saya telah mendapat panggilan daripada RTM. Mereka ingin mewawancara saya sebagai Presiden Persatuan Blogger Remaja Malaysia,untuk program talk mereka,Xpresi Remaja TV1. Dan Pusat MSC Putrajaya sebagai saksi pertemuan saya dengan Aliff Sattar sebagai pengacara,saya telah dihujani dengan pelbagai soalan spontan(soalan dalam kertas lain.soalan yang ditanya lain) dan ALHAMDULILLAH, saya menjawab dengan tenang dan dapat idea zup zap yang terbaik.

Maka,apabila saya telah diwawancara di sebuah rancangan yang rasmi,saya perlu buat sesuatu yang lebih besar. Saya tidak boleh membiarkan diri saya glamer seorang diri dengan pangkat yang tak membawa ke akhirat ini. Saya tidak boleh menjadikan persatuan ini hanyalah sebuah persatuan kosong sebagai medium saya untuk menonjolkan diri.

Persatuan ini perlu menjadi rasmi.

Saya membawa hasrat yang mengundang risiko dan bakal memberi impak kepada sejarah Malaysia. PBRM akan menjadi sebuah persatuan belia yang rasmi dan mengumpulkan seluruh blogger remaja Malaysia yang berumur 10-20 tahun. Kemungkinan apabila kita sudah semakin matang,kita akan membuka kepada umur yang lebih tua sedikit demi sedikit.

Saya sedang memohon kepada R.O.S untuk menjadikan persatuan ini adalah sebuah persatuan rasmi, dan kita bersama-sama akan berbangga kerana kita adalah sebahagian daripada komuniti persatuan ini. Oleh itu,saya menyeru kepada semua,jemputlah saudara mara,kawan-kawan,sahabat handai,jiran tetangga, jemaah masjid dan surau,serta semua blogger untuk bersama-sama mendaftar persatuan ini,supaya permintaan kita untuk menjadikan persatuan ini sebagai persatuan rasmi dipermudahkan.

Ubi sedang berisi!

Saturday, January 29, 2011

50 Orang



 Presiden Soekarno ada menyebut, "Berikan aku 10 orang pemuda,akan aku gegarkan dunia."

Soekarno adalah presiden Indonesia yang pertama.Dia merupakan ketua pergerakan kemerdekaan Partai Nasional Indonesia yang diasaskan pada tahun 1927. Selepas dia ditangkap,dia merupakan seorang yang sangat berpengaruh sehingga menjadi seorang presiden sebuah negara yang besar. Terlalu besar sehingga dia menjadi pemimpin yang benar-benar dihormati di Asia.

Dia menggegarkan dunia hanya dengan 10 orang pemuda;atas permintaannya. Tetapi seorang insan kerdil bernama Mufarwa memerlukan 50 orang pemuda dan pemudi untuk menggegarkan dunia persatuan blogger remaja yang pertama di Malaysia ini.

Dengan 50 orang pemuda dan pemudi,maka persatuan ini akan menjadi kukuh,sekurang-kurangnya dengan 50 orang itu,ia meyakinkan lebih ramai untuk menyertai persatuan ini. 50 orang pemuda pemudi ini akan menjawab segala persoalan yang bermain di minda ahli,apakah aktiviti selepas ini.


PBRM adalah hasil pemikiran seorang insan yang mahukan dunia ini dirempuh dan mengaumkan pencerahan yang begitu bermakna bagi dunia. PBRM ingin melahirkan insan yang tidak mondok dan lemas dalam lautan buku teks sekolah dan kerja-kerja rumah. PBRM juga ingin melahirkan insan yang bakatnya akan dihargai tidak kira di mana sahaja bidang yang diceburi. Katakanlah apa sahaja remaja ini berbakat,pasti PBRM akan mencungkilnya dan bakatnya akan diangkat.

Maka,rancangan-rancangan PBRM mempunyai landasan. Ianya bukan angan-angan. Dahulu,orang menafikan panggilan jauh tanpa menggunakan burung utusan. Tetapi kini,segalanya berada di dalam tangan. Begitu juga dengan sebuah impian. Apa yang diharapkan adalah impian ini mempunyai kejayaan. Untuk berjaya umat perlu disatukan. Untuk menyatukan umat,maka lahirlah sebuah persatuan.

Capaian 50 orang ini untuk menguatkan organisasi ini. Seperti gigi manusia,ia memerlukan masa untuk tumbuh sehingga menjadi teman sehingga dewasa. Namun,ada satu-satu tahap,gigi manusia ini ada yang patah dan meninggalkan barisan giginya. Ini perkara lumrah. Dalam setiap organisasi di dunia ini,begitulah analoginya. Gigi dan organisasi tak jauh beza.Maka,untuk benar-benar mengaktifkan persatuan ini, saya menyasarkan 50 orang ahli PBRM,kemudian,barulah saya akan membuat aktiviti-aktiviti yang telah dijanjikan.
 
Persatuan ini akan bangkit suatu hari nanti. Dengan aktiviti yang menyeronokkan seperti perkhemahan, kursus, pertandingan, dan segalanya yang anda pernah mendengarnya daripada persatuan lain. Jangan merasakan bahawa persatuan ini hanyalah sebuah picisan,dibina oleh seorang lelaki stranger yang inginkan nama dan kemahsyuran. Tetapi ingatlah,jika dapat dipancarkan setiap perasaan,maka kalian akan melihat bahawa di dalam hati ini,mempunyai perasaan inginkan kejayaan dalam mencapai misi dan visi.

Berikan aku 50 orang pemuda dan pemudi. Akan aku gegarkan alam maya ini.

Saturday, January 1, 2011

Ucaptama Pengasas PBRM

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua blogger.


Terima kasih kerana sudi melawat blog ini. Ketika saya sedang menulis,persatuan ini masih lagi baru dan tiada pengikutnya kerana persatuan ini masih baru. Sangat baru seperti bayi yang baru lahir di tahun baru. Idea menubuhkan persatuan ini daripada persatuan-persatuan penulis muda yang ada di luar sana. Jika ada persatuan penulis muda,mengapa tidak perlu blogger remaja?

Remaja yang mempunyai blog adalah remaja yang sangat hebat dan bersifat ingin tahu sepanjang masa. Mereka memerlukan satu perkara yang baru setiap masa,dan mereka sentiasa ingin terlibat dalam aktiviti sosial bagi meningkatkan bakat mereka. Oleh itu,penubuhan blog ini adalah untuk memberi bateri kepada semangat blogger remaja supaya mereka tidak kering daripada pengalaman dan pencerahan.

Persatuan ini memerlukan kerjasama. Ia tidak boleh dibangunkan dengan satu tenaga. Sekiranya kita mahu berjaya,kita perlu bersama-sama membangunkannya. Saya berharap,dengan penubuhan persatuan ini,kita dapat melakukan aktiviti luar seperti kursus,sukan,berkhemah,dan jualan untuk menghidupkan lagi persatuan ini.

Saya juga berharap agar persatuan ini dapat berjalan dengan baik seperti persatuan yang lain. Harapan saya realistik iaitu kita akan ada baju persatuan,kad persatuan dan trademark kita sendiri sebagai satu persatuan.

Malah,untuk lebih besar lagi,suara-suara blogger remaja ini dapat didengari oleh pihak berkuasa dalam satu-satu isu supaya hak dan keistimewaan kita dapat dipertahankan secara aman.

Namun,ini semua memerlukan komitmen dan penglibatan semua ahli dan bukan ahli untuk menjayakan misi kita.Inilah titik tolak kita untuk terus berani,berani dan berani.

Semoga persatuan ini mampu bertahan dan semua ahli dapat komited dengan segala aktiviti persatuan ini.

Sekian,

Mufarwa
Penubuh Persatuan Blogger Remaja Malaysia
1 Januari 2011
26 Muharam 1432.