Followers

Wednesday, July 27, 2011

Diam Diam Ubi Berisi

Ubi itu duduknya di bawah tanah. Jasadnya tidak kelihatan,rohnya semakin bercambah. Semakin lama percambahan roh ini akan dibangunkan,kemudian disusuli dengan jasad yang tidak kelihatan. Maka ubi ini apabila telah bersedia untuk matang,ia akan dicabut dan menyebarkan budinya. Selama tempoh pertumbuhan ubi ini,tidak ramai yang memahami bagaimana ia boleh membesar,walhal ia tidak berbunyi. Ia sunyi. Ia terdiam di dalam lorong sempit yang sunyi.

Seperti ubi,blog ini diam dan terus berisi.

Saya sebagai presiden memohon maaf andai blog ini seperti sarang burung denak yang berhabuk dek habuk pokok Melaka,tidak terisi dengan sebarang maklumat terkini. Al-maklumlah. Sudah fitrah remaja, pemikirannya kontot,nafsunya lebar. Yang digenggam telah dilupa,yang terlepas bikin ternganga. Maka, pada hari ini,saya akan menyambung kesinambungan hari bersejarah 1111 yang akan kita kenangi suatu hari nanti.

Persatuan Blogger Remaja Malaysia belum menjadi ubi yang matang. Ia sedang melalui proses.

Baru-baru ini,saya telah mendapat panggilan daripada RTM. Mereka ingin mewawancara saya sebagai Presiden Persatuan Blogger Remaja Malaysia,untuk program talk mereka,Xpresi Remaja TV1. Dan Pusat MSC Putrajaya sebagai saksi pertemuan saya dengan Aliff Sattar sebagai pengacara,saya telah dihujani dengan pelbagai soalan spontan(soalan dalam kertas lain.soalan yang ditanya lain) dan ALHAMDULILLAH, saya menjawab dengan tenang dan dapat idea zup zap yang terbaik.

Maka,apabila saya telah diwawancara di sebuah rancangan yang rasmi,saya perlu buat sesuatu yang lebih besar. Saya tidak boleh membiarkan diri saya glamer seorang diri dengan pangkat yang tak membawa ke akhirat ini. Saya tidak boleh menjadikan persatuan ini hanyalah sebuah persatuan kosong sebagai medium saya untuk menonjolkan diri.

Persatuan ini perlu menjadi rasmi.

Saya membawa hasrat yang mengundang risiko dan bakal memberi impak kepada sejarah Malaysia. PBRM akan menjadi sebuah persatuan belia yang rasmi dan mengumpulkan seluruh blogger remaja Malaysia yang berumur 10-20 tahun. Kemungkinan apabila kita sudah semakin matang,kita akan membuka kepada umur yang lebih tua sedikit demi sedikit.

Saya sedang memohon kepada R.O.S untuk menjadikan persatuan ini adalah sebuah persatuan rasmi, dan kita bersama-sama akan berbangga kerana kita adalah sebahagian daripada komuniti persatuan ini. Oleh itu,saya menyeru kepada semua,jemputlah saudara mara,kawan-kawan,sahabat handai,jiran tetangga, jemaah masjid dan surau,serta semua blogger untuk bersama-sama mendaftar persatuan ini,supaya permintaan kita untuk menjadikan persatuan ini sebagai persatuan rasmi dipermudahkan.

Ubi sedang berisi!

No comments: